My Blog List

Sunday, February 7, 2010



Buku yang saya tulis berkenaan diri sendiri bertajuk BAK-E 40. Saya mula menulis kisah diri ini bermula tahun 1979 hinggalah dapat disiapkan dengan lengkap pada tahun 2006. Buku ini bukan untuk dipasarkan buat masa ini hanya sekadar untuk rujukan dan bacaan keluarga sahaja. Sekarang masih menulis untuk siapkan buku yang sama edisi yang kedua.




SEBAHAGIAN PETIKAN DARI BUKU


CERITA DULU-DULU
(KISAH BENAR)
Oleh: Cikgu Shukri

Aku dengar daripada mulut Tok Mek, Salasiah Taib dan Tok Pah, Che Arpah Mat yang kerap kali bercerita apabila aku berkunjung ke rumah mereka. Cerita-cerita ini diulang-ulang, banyak kali aku dengar, mungkin Tok Mek dan Tok Pah tidak ingat malah lupa bahawa cerita-cerita tersebut sudah diceritakan sebelum ini, mungkin juga mereka begitu asyik dengan memori lama yang telah dilalui. Sementara itu cerita daripada Tok Wan Mat dan Tok Wan Rashid, lebih-lebih lagi Tok Wan Rashid jarang aku dengar, jika dengar pun mungkin sudah lupa. Lagi pun aku tidak begitu rapat dengan mereka berbanding dengan Tok-Tok. Tok Nek pula sama ada sebelah ayah atau emak, langsung aku tidak ingat kerana mereka meninggal semasa aku masih kecil lagi, kecuali Tok Nek Embun isteri muda Tok Nek Mat, Tok kepada ayah kerana masih ada walaupun sudah uzur, agaknya hampir 90 tahun. Cerita daripadanya juga banyak yang aku dengar.

Tok Mek bercerita, yang berpindah ke Tok Tambak, emak bapanya berasal dari Tokai dan berkahwin dengan Tok Wan Rashid. Tok Mat bapa kepada Tok Wan berasal dari Alor Kemudu. Proses perkahwinan mereka tidak pernah Tok ceritakan, cuma dia pernah berkata semasa kahwin dia belum faham apa itu perkahwinan? Hanya ikut kehendak emak bapa sahaja, sedar-sedar sudah mengandung dan dapat anak pertama iaitu ayah sendiri pada 22 Oktober 1942. Kehidupan pada masa itu memang sukar, pondok rumah dibina daripada batang kayu pokok gelam, dinding juga kulit gelam, lantai buluh campur kayu dan atap daun nipah. Kawasan sekeliling penuh dengan hutan dan semak samun, kawasan berpaya. Pada masa itu di Tok Tambak dan tempat sekarang, Megat Dewa belum banyak orang. Jarak antara rumah pula jauh-jauh dan berpulau-pulau. Tok, Tok Wan dan Tok Nek sama-sama menebas dan memugar hutan dengan menebang pokok-pokok gelam yang tinggi lagi besar, sedikit demi sedikit untuk dijadikan kawasan tanaman padi. Kawasan paya yang berair ini memang sesuai untuk tanaman padi. Pada masa ini tanah belum berpemilik, sesiapa yang banyak dan rajin memugar hutan dialah yang banyak tanah. Selepas itu baharulah proses mendapatkan geran dilakukan. Keluarga Tok Nek Mat adalah antara keluarga yang dapat banyak tanah khasnya di kawasan Tok Tambak. Selesai memugar tanah, tanah dibersih dan ditenggala sebelum menanam padi setahun sekali. Walaupun hasil tidak seberapa tetapi cukup untuk keperluan anak beranak. Sekiranya banjir, atau air melimpah, padi tetap ditanam dengan cara rakit. Padi ditanam di atas rakit buluh dan batang pisang, terapung di atas air.

Tok bercerita lagi……….
Kawasan sekeliling juga banyak binatang buas terutama babi dan ular sawa. Tanaman padi sering kali dirosakkan oleh babi yang besar-besar. Oleh sebab itulah Tok Wan mohon memiliki senapang patah. Banyak juga babi yang berjaya dibunuh, dan apabila ada bangkai, bannyaklah burung-burung eriang berkepala botak yang selalu terbang tinggi tetapi dapat mengesan bangkai begitu cepat lalu terbang turun mendapatkan bangkai tersebut………….
Pernah sekali suatu pagi, Tok dan Tok Wan ke bendang sementara ayah ditidurkan di dalam buaian yang digantungkan pada dahan pokok di pinggir rumah. Apabila pulang dari bendang berdekatan, didapati terdapat seekor ular sawa sederhana besar sedang bergerak dari atas pokok menuju ke dalam buai ayah, Tok menyatakan “Jika lambat sedikit lagi, ayah hang memang tak ada lagi, dimakan ular sawa……” Akhirnya ular tersebut berjaya dibunuh oleh Tok Wan. Tidak habis di situ, cerita ular sawa yang lain pula……sambung Tok Mek lagi, “Semasa Tok Wan hang balik dari bendang suatu hari, di pertengahan jalan balik rumah dia terserempak seekor ular sawa sebesar batang nyior sedang menelan seekor babi. Dia cepat-cepat balik ke rumah lalu ambil senapang dan pergi semula, namun apabila sampai di tempat tadi, ular tersebut sudah menghilang”. Sebenarnya banyak lagi cerita ular sawa dan babi…………..yang pastinya kawasan ini memang banyak binatang buas pada masa itu termasuk juga harimau yang datang dari bukit dan tinggal di kawasan padi, khasnya apabila padi sudah hampir masak.

Pada masa Jepun kehidupan lagilah susah, hanya makan ubu kayu sahaja, beras tidak ada kerana tidak dapat tanam padi. “Tok tukarkan kerbau seekor untuk dapatkan sehelai kain, dan kain itu pula digilir-gilir dengan Tok Wan hang, jika hendak ke mana-mana atau ke tempat kenduri atau semasa orang datang, mula-mula Tok Wan pakai dulu, kemudian dia bagi Tok pakai pula……” Cerita Tok, sambungnya lagi “Masa Jepun, kapal terbang macam kelkatu di atas langit, kemudian terdengar bunyi bom di sana sini. Orang perempuan semua lari masuk ke hutan manakala lelaki berjaga dengan senjata lembing dan parang terutama berdekatan batas kereta api……. Banyak oang Punjab, yang lilit serban di kepala tu, mati, Jepun bunuh…….” Aku hanya diam dan sesekali bertanya balas untuk merancakkan lagi cerita yang disampaikan oleh Tok pada malam itu. “Apabila Jepun menang, semua senjata diarah serah kepada mereka, jadi Tok Wan dan orang-orang kampong lain terpaksa himpun semua senjata parang, pedang, lembing dan lain-lain lalu mereka tanam di dalam tanah” Aku tertarik dengan cerita tersebut, lalu “Di mana depa tanam Tok?” “Tok tak tengok depa tanam tang mana, tetapi Tok Wan hang kata dekat tanah dia buat bendang sekarang ini!”Itu penjelasan daripada Tok, terfikir dalam hati untuk menggali semula.

Sementara itu Tok Pah pula lain ceritanya………….
Keluarga Tok Pah berasal dari Merbuk, berpindah ke Alor Besar apabila berkahwin dengan Tok Wan Mat, sebenarnya perkahwinan ini diatur oleh keluarga dan ada hubungan kekeluargaan juga. Emak anak yang kedua bagi pasangan ini dilahirkan pada 24 April 1946. Kawasan kampung sekitar tempat lahir emak ini juga penuh dengan paya berair, namun tanaman padi diusahakan juga walaupun sukar untuk dilaksanakan. Kawasan alur ini apabila banjir, banyak buaya dari sungai berdekatan, seperti Sungai Coras dan Sungai Pendang masuk ke bendang dan mengikut cerita Tok, terdapat beberapa orang mati dibaham buaya apabila mencuci pakaian termasuk saudara mara Tok sendiri, yang dikatakan disambar buaya semasa sedang mencuci kelambu. Selain di Alor Besar ini, Tok dan Tok Wan juga mengusahakan tanah di Sungai Tiang dengan menanam getah dan padi huma. Sebuah pondok dibina di sana dan mereka bergilir-gilir tinggal, beberapa lama di Sungai Tiang dan beberapa ketika pula di Alor Besar. Pergerakan antara kedua-dua tempat yang jauh ini hanya berjalan kaki sahaja. Tok juga pernah berkata dia dan adik beradik lain juga kerap berjalan kaki dari Merbok ke Alor Besar yang jauhnya lebih kurang 60 batu melalui jalan kereta api dan hutan di sepanjang jalan. Katanya lagi, “Kadang-kadang tidak sempat sampai, hari sudah malam lalu terpaksa singgah dan menumpang bermalam di rumah orang” Aku menjadi sayu apabila Tok menyatakan dalam perjalanan ini ada yang membawa anak kecil yang kelaparan apabila terpaksa bermalam di rumah orang yang tidak dikenali.

Tok bercerita lagi, Tok Nek dulu suka bela binatang, dia bela gajah, kerbau dan anjing, petang-petang dia bawa gajah jalan-jalan sekeliling kampong. Kerbau digunakan untuk menggala tanah dan tarik padi manakala anjing dilepas begitu sahaja untuk menjaga rumah……”Sambung Tok lagi, “Tok Nek juga rajin ke hutan mencari rotan dan beberapa kali terserempak dengan harimau, pernah sekali dia potong rotan, lalu menariknya dan pada masa itu terdengar bunyi ngauman harimau, katanya mungkin terdapat sarang harimau di atas sana, lalu dia meninggalkan tempat tersebut cepat-cepat” Memang benarlah kerana hingga sekarang ini pun kawasan sekitar Gunung Jerai, Merbok penuh dengan hutan.

Hari lain, apabila aku ke rumah Tok, “Emak hang dulu mengaji pandai, tetapi kerana Tok Wan hang tak bagi mengaji lagi selepas sekolah rendah, terpaksalah berhenti. Dia nak mak hang tolong dia di bendang, seingat-ingat Tok, emak hanglah yang paling teruk bekerja, berbanding adik-beradik yang lain, jika tak mahu ke bendang akan dirotan oleh Tok Wan. Kawan-kawan dia yang sama-sama mengaji dulu banyak yang jadi cikgu dan ustazah sekarang!” Jelas Tok Pah. Tok Pah sambung cerita lagi “Beza dengan ayah hang, Tok Wan Rashid suruh bersekolah di sekolah pondok, belajar agama, tetapi tidak lama juga, kemudian berhenti. Sementara itu ayah hang bernikah dengan emak hang, saudara mara juga yang mengaturkannya, yalah Tok Mek hang banyak adik beradik di Tokai, jadi depalah bawa Tok Mek mai menengok. Emak hang masa depa mai tu, duduk menanam di bendang lagi, jadi Tok panggil balik……….”
“Akhirnya semua setuju, dan emak hang jadi bernikah pada umur 17 tahun, pada masa itu ayah hang berumur 21 tahun, dengan belanja sebanyak RM1,000.00 dan buat kenduri sembelih kerbau” Kata Tok kepada aku dan Cuu Din, yang hanya diam membisu pada malam itu, terfikir juga emak berkahwin pada usia muda rupanya.

Banyak lagi cerita yang Tok Pah luahkan namun kebanyakannya berkaitan hubungannya dengan Tok Wan Mat. “Sejak kahwin, dan sekarang mempunyai tujuh orang anak, Tok tidak pernah aman bersama Tok Wan hang, dia pula la ni sudah ada dua orang bini lagi. Tok dengan dia macam orang lain, bukan seperti laki bini, hak dia dan hak Tok asing-asing. Dia buka kedai, Tok yang banyak jaga dan jual tetapi duit yang dapat semuanya dia ambil. Bergaduh, berkelahi ni, seingat Tok dari mula kahwin dengan dia sampailah sekarang ini, Tok selalu kena maki dan sepak terajang. Tok pada matanya, pada hati dia tidak pernah betul, semuanya salah, itulah Tok Wan hang……Semua anak-anak tidak berjaya kerana sikap bongois Tok Wan hang” Jelas Tok. Memang sekarang Tok sudah uzur, pagi tadi aku bawa dia ke klinik di Kota Sarang Semut untuk ambil ubat, ubat sakit lutut. Tok sudah tidak upaya untuk berjalan jauh lagi, urat-urat kakinya sudah jelas kelihatan. Namun pada pagi Jumaat lepas dia gagahi juga berjalan pergi mendengar Tok Guru baca kitab di surau. Tok tetap tersenyum gembira, lalu bertanya khabar emak ayah apabila setiap kali aku tiba di rumahnya walaupun daripada riak mukanya dan hatinya, sepanjang hidup tidak pernah merasa kesenangan……

Pada masa aku menulis kembali kisah ini, Tok Pah sudah 16 tahun meninggal dunia manakala Tok Mek sudah 19 tahun ke rahmatullah….semoga Allah mencucuri rahmat atas roh mereka…amin.

No comments:

Post a Comment